Menarik
Tarikh Hari Ini
17 August 2017

Ahmad Zahid Arah Perhimpunan ‘Jerusalem Jubilee’ Diharamkan

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan pihak Polis Diraja Malaysia supaya mengharamkan perhimpunan Jerusalem Jubilee yang dijadual diadakan di Melaka dari 15 hingga 18 Jun ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan penganjuran perhimpunan itu hanya akan melukakan hati umat Islam jika ia dibenarkan berlangsung.

“Bila hati umat Islam tersentuh, terhiris, dilukai …saya sebagai Menteri Dalam Negeri mengarahkan pihak polis mengharamkan perjumpaan itu. Ini adalah mesej yang lantang dan jelas.

“Sesiapa yang menganjurkan Jerusalem Jubilee, permit kamu dibatalkan di bawah arahan rasmi saya selaku Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri,” katanya semasa berucap pada program Penerapan Nilai-nilai Murni di Bulan Ramadan Peringkat Negeri Perak di Ipoh hari ini.

Pada majlis itu timbalan perdana menteri berbuka puasa dan bersama-sama dengan hadirin menunaikan solat maghrib di Masjid Annur, Batu 8, Ulu Kinta.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 100 orang anak yatim.

Terdahulu pihak penganjur perhimpunan Jerusalem Jubilee dilapor telah membuat keputusan untuk membatalkan perhimpunan tersebut setelah berbincang dan mendapat nasihat daripada pihak polis.

Ketua Polis Melaka Datuk Abd Jalil Hassan berkata pihaknya telah memanggil pihak penganjur dan mereka telah membuat keputusan sendiri untuk membatalkan perhimpunan itu dan sehingga kini sebanyak 32 laporan polis telah dibuat.

Ahmad Zahid dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepasa organisasi Islam atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah membuat laporan polis bagi membantah perhimpunan tersebut.

“Beberapa laporan polis telah sampai ke Bukit Aman dan mereka merujuk perkara ini kepada saya dan dengan kuasa Menteri Dalam Negeri, saya arahkan PDRM membatalkan perhimpunan itu,” katanya sambil menambah meraikan penjajahan Israel ke atas Palestin turut melukakan hati rakyat Malaysia.

Timbalan perdana menteri memberi amaran kepada semua pihak agar menghormati agama lain dan saling menjaga toleransi beragama di negara ini yang terdiri daripada rakyat pelbagai kaum dan agama.

“Kita menghormati agama lain walaupun ada bekas tokoh yang mengatakan negara Malaysia bukan negara yang mengamalkan agama Islam sebagai agama rasmi. Tetapi agama Islam adalah agama Persekutuan. Sila rujuk Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

“Saya buta warna dalam menjalankan tugas yang menjaga sensitivi agama lain. Ada perkara yang boleh dimaafkan, tetapi yang tak boleh dimaafkan jika berkait dengan Islam, ” tegas Ahmad Zahid.

Dalam pada itu beliau mengumumkan akan menganjurkan Rumah Terbuka Aidilfitri khusus untuk Pasukan Gerakan Am (PGA) sebagai menghargai sumbangan dan jasa mereka kepada negara. – BERNAMA