Berpuasa Bukan Alasan Kurang Produktif, Kata Najib

Berpuasa di bulan Ramadan tidak boleh dijadikan alasan bagi orang Islam untuk menjadi kurang produktif, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata ini kerana setiap individu mempunyai tanggungjawab untuk dilaksanakan sama ada sebagai pelajar, pekerja, anak mahupun ibu atau bapa termasuk di bulan puasa.

Untuk itu, beliau menyarankan agar orang Islam menitikberatkan soal bersahur.

“Waktu kecil dahulu, saya sering diingatkan untuk tidak terlepas sahur kerana sahur dianggap sebagai sarapan, juadah yang penting untuk kesihatan.

“Bagi saya, sahur ini penting sebagai sumber tenaga agar kita kekal produktif sepanjang hari,” katanya dalam catatan bertajuk ‘Sahur dan Kelebiahnnya’ di blognya “http://www.najibrazak.com” .

Lebih penting lagi, kata Najib, umat Islam tidak harus ambil mudah amalan bersahur kerana ia merupakan amalan Nabi Muhammad SAW.

Perdana menteri seterusnya berkata walaupun jadual kerjanya padat, namun semasa Ramadan, setiap hari beliau dan keluarga akan bersahur bersama dan mengambil peluang untuk berceritakan perihal masing-masing.

“Alhamdulillah, hubungan kekeluargaan dapat dieratkan walau dalam masa yang singkat. Ini juga merupakan satu perkara yang sering dilakukan ketika ayahanda saya masih ada dahulu,” kata Najib yang merujuk kepada perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein. – BERNAMA