Idris Jala Diyakini Mampu Selesai Kemelut FGV, Kata Menteri JPM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan yakin Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu Associates Sdn Bhd, Datuk Seri Idris Jala yang dilantik sebagai pihak berkecuali dalam isu Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mampu merungkai dan menyelesaikan isu itu.

Beliau berkata, dengan pengalaman dan kepakaran Idris yang merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, akan dapat mengenal pasti apa sebenarnya sedang berlaku di dalam syarikat itu.

Katanya, isu FGV adalah berkaitan penambahbaikan tadbir urus dan anggota lembaga pengarah FGV juga mempunyai tugas untuk memastikan akauntabiliti serta sistem kawalan dalaman yang sentiasa menyokong tadbir urus baik.

“Dalam konteks FGV saya tidak mahu mengulas lanjut… mereka (FGV) perlu tanya diri mereka sendiri, apa masalah yang berlaku dan bagaimana sesuatu keputusan itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Pemulihan Dadah Daerah Tangkak di Bukit Kangkar di sini, hari ini.

Pusat Pemulihan Dadah yang dikenali ‘The Exit Centre’ dibina pada 2009 itu sehingga kini telah berjaya memulihkan sebanyak 71 penagih dadah.

Pada 6 Jun lepas, Pengerusi FGV, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mengeluarkan arahan bercuti kepada empat pegawai kanan FGV bagi memberi laluan audit dalaman dijalankan untuk menyiasat tunggakan bayaran syarikat Safitex kepada Delima Oil Products Sdn Bhd, sebuah anak syarikat FGV.

Dalam pada itu, Low berkata semua anggota lembaga pengarah bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu mengekalkan tadbir urus korporat yang baik dan berintegriti.

Beliau berkata ini bagi mengurangkan ketirisan sekali gus memastikan tiada amalan-amalan yang bertentangan dengan peraturan serta undang-undang termasuk rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penipuan berlaku dalam syarikat berkenaan. – BERNAMA