Idris Jala Masih Kumpul Bukti, Fakta Kes FGV

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala yang dilantik sebagai panel bebas dalam menyelesaikan krisis Felda Global Ventures Holdings (FGV) memaklumkan bahawa pihaknya masih dalam proses mengumpul bukti untuk tindakan lanjut.

Beliau yang ditemui pemberita di Menara Felda, Kuala Lumpur petang tadi memberitahu bertindak atas kapasiti individu dan belum menubuhkan sebarang jawatankuasa khas bagi mencari penyelesaian kepada permasalahan dihadapi syarikat berkaitan kerajaan itu.

“Saya tidak mahu mengulas tentang perkara ini kerana masih lagi mengumpul semua maklumat. Setakat ini juga kami tidak menubuhkan sebarang komuniti lagi,” katanya.

Beliau tiba di Menara Felda pada jam 2.33 petang dan bergegas menaiki lif ke tingkat 45, enggan memberi ulasan lanjut biarpun dikerumuni wartawan dan hanya berjalan memasuki kenderaan dengan diiringi polis bantuan Felda.

Kerajaan Malaysia semalam mengumumkan pelantikan Idris untuk mengumpul fakta kes dan membuat cadangan penyelesaian berhubung keputusan FGV mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif, Ketua Pegawai Kewangan dan dua pengurusan kanannya bercuti berkuasa, kelmarin.