Jangan Pertikai Sumbangan Zakat Tabung Haji, Amaran Abdul Azeez

Pengerusi Lembaga Pengarah Tabung Haji, Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim memberi amaran kepada ahli parlimen pembangkang agar tidak mempertikaikan sumbangan zakat dikeluarkan oleh Yayasan Tabung Haji kepada asnaf dan penerima terpilih.

Abdul Azeez berkata dakwaan beberapa ahli parlimen pembangkang bahawa Jelajah Ziarah Ramadhan al-Mubarak itu mempunyai kepentingan peribadi adalah tidak benar.

“Sumbangan zakat ini melibatkan lebihan duit zakat Tabung Haji dan ditambah dengan wang daripada UMNO dan kerajaan yang bukan hanya disumbangkan kepada golongan asnaf malah keluarga yang kurang berkemampuan seperti ibu tunggal, warga emas dan pesakit terlantar,” katanya ketika ditemui di Teluk Intan, hari ini.

Tambah Abdul Azeez, program tersebut dibuat bagi membantu meringankan beban golongan penerima tanpa mengira fahaman politik bagi membantu mereka membuat persiapan hari raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Malah menurut Abdul Azeez lagi, dakwaan bahawa program tersebut hanya tersasar kepada ahli UMNO ternyata meleset memandangkan sebahagian penerimanya adalah daripada kalangan penyokong parti pembangkang.

“Bukti program ini tidak ada kaitan dengan kepentingan peribadi adalah apabila sumbangan ini bukan hanya diberikan kepada penyokong UMNO malah separuh daripada penerima adalah daripada parti pembangkang,” katanya selepas menyampaikan sumbangan zakat kepada 1,500 penerima di Teluk Intan.

Program Jelajah Ziarah Ramadhan al-Mubarak itu dianjurkan Yayasan Tabung Haji dengan kerjasama Biro Keahlian Daftar Pemilih UMNO (BKDP) yang turut dipengerusikan oleh Abdul Azeez.