Menarik
Tarikh Hari Ini
17 August 2017

Kerajaan Mula Laksana Cukai Pelancongan Julai Ini, Kata Nazri

Pelaksanaan cukai pelancongan yang dikenakan pada kadar antara RM2.50 dan RM20 untuk penginapan semalaman akan diteruskan mulai 1 Julai ini, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau sekali gus menolak laporan sebuah portal berita di mana pelaksanaan cukai berkenaan mungkin ditangguhkan.

“Warta (cukai pelancongan) ini automatik, mengikut prosedur negara apabila diluluskan Parlimen, maka pewartaan itu automatik…jadi yang berkuasa dalam undang-undang ialah Parlimen dan pewartaan itu hanya formaliti saja.

“Kalau nak kata belum warta, itu betul, tapi bukan boleh menghalang kehendak ahli Parlimen kita yang sebulat suara meluluskannya kerana cukai ini akan dilaksanakan dan pasti akan dilaksanakan. Jadi sasaran kita ialah 1 Julai,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan ‘Perfect China Seminar – The New Beginning’ malam tadi.

Ahli parlimen Padang Rengas itu berkata pelaksanaan kutipan cukai akan mula dikenakan terhadap hotel dan rumah penginapan yang berdaftar.

Pada sidang Parlimen lepas, Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan 2017 yang dibentangkan Nazri diluluskan dengan undian majoriti.

Ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu, Nazri berkata cukai pelancongan itu dianggarkan mampu memberi kutipan sebanyak RM654.62 juta sekiranya kadar penginapan bermalam bagi keseluruhan 11 juta bilik di negara ini mencapai 60%.

Terdahulu, berucap di hadapan 3,500 perwakilan Perfect China dari China, Nazri berkata menganjurkan acara di Malaysia adalah selaras dengan aspirasi kerajaan di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) untuk meletakkan negara ini sebagai hab pilihan acara berkaitan perniagaan atau Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE).

“Malah, semua delegasi Perfect China kini adalah duta pelancongan Malaysia. Kami berharap anda akan menggunakan sepenuhnya lawatan ini dan merasai pengalaman keajaiban di Malaysia dan membawa pulang kenangan manis sepanjang berada di negara ini,” katanya.

Beliau berkata sepanjang 23 tahun penubuhan Perfect China, ia melaksanakan lebih 80 insentif lawatan ke luar negara dan sejak 2011 sudah menganjurkan program seumpama itu ke Malaysia. – BERNAMA