Masyarakat India Muslim Mohon Kerajaan Pertimbang Status Bumiputera

Persatuan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian status Bumiputera kepada masyarakat India Muslim yang dilahirkan di negara.

Presiden PSUAM, Syed Muhammad Imran SN Syed Abd Aziz berkata status tersebut wajar untuk diberi kepada masyarakat itu berdasarkan kepada beberapa faktor.

Katanya pengorbanan nenek moyang masyarakat India Muslim membawa masuk ajaran Islam ke Tanah Melayu sebelum menjadi agama rasmi negara ini seharusnya menjadi sandaran untuk masyarakat berkenaan mendapat status Bumiputera.

“Masyarakat India Muslim mengiktiraf, mengangkat dan mendaulatkan Raja-Raja Melayu, selain menerima Islam sebagai agama Persekutuan serta bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

“Kita juga mengamalkan adat resam dan budaya Melayu,” katanya selepas berkata menyerahkan memorandum permohonan status Bumiputera kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menerusi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan di Kuala Lumpur, hari ini.

Syed Muhammad Imran berkata demikian pada Program Ihya Ramadan Bersama Anak Yatim, Fakir Miskin dan Ibu Tunggal serta Anugerah Pelajar Cemerlang UPSR/PT3/SPM/STPM 2016 dan Perasmian Persatuan Malabari Muslim Jama’at Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Ahmad berkata, memorandum itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri untuk tindakan lanjut.