Zulfarhan Dipukul Akibat Tuduhan Bomoh, Kata Rakan Mangsa

Penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain yang meninggal dunia kelmarin akibat dipukul lebih tiga puluh pelajar lain, dipercayai menjadi mangsa tuduhan seorang bomoh yang mendakwanya sebagai pencuri komputer riba salah seorang suspek.

Bapa saudara mangsa berkata perkara tersebut didedahkan rakan mangsa menerusi mesej Whatsapp kepada ibu Zulfarhan, Hawa Osman.

Melalui mesej tersebut, rakan mangsa mendedahkan bahawa Zulfarhan telah dipukul selama dua hari kerana dituduh mencuri, walaupun tiada bukti ditemui selain dia bukan satu-satunya pelajar yang disyaki.

“Tapi Paan (Zulfarhan) jadi suspek sebab orang tanya bomoh la bagi keluar nama dia. Lepas tu nak bagi dia mengaku, kawan-kawan pukul dia beramai-ramai.

“Arwah kena pukul dua hari sebab tidak mengaku,” tulis mesej WhatsApp itu.

Sementara itu, pihak polis kini sedang berusaha menjejaki bomoh yang didakwa menyebut nama arwah dalam kes kecurian itu dan doktor sebuah klinik swasta yang merawat mangsa pada 27 dan 31 Mei lalu untuk diambil keterangan.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, pihaknya akan menyiasat segala kemungkinan berkaitan dengan kes penderaan siswa ini.

“Selain doktor itu, kami juga akan menjejaki dan merakam keterangan bomoh yang didakwa menyebut nama arwah sebagai individu yang mencuri komputer riba.

“Suspek menggunakan alasan itu untuk memaksa Allahyarham mengaku tindakannya (mencuri laptop).

“Sehingga ini, tiada penahanan dilakukan namun jika perlu berdasarkan bukti hasil siasatan, kami akan membuat penahanan lain,” katanya seperti yang dipetik sebuah akhbar tabloid.

Khamis lalu, Zulfarhan, 21, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Serdang kira-kira jam 10.00 malam dengan kesan melecur di dada, tangan dan kaki, dipercayai ditekap seterika wap.

Ahli keluarga arwah turut menyifatkan keadaan mangsa “umpama daging bakar” dengan hampir semua tubuh mempunyai kesan melecur.

Susulan itu, seramai 36 pelajar direman bagi membantu siasatan kes kematian pegawai kadet laut tahun tiga UPNM itu.

Terdahulu, ibu mangsa memberitahu, anaknya ada mengadu baru-baru ini dia dipukul rakan-rakan universiti namun mereka menyangka ia tidak serius.