Datuk Bandar MBPP Akui PBT Bayar Yuran RM39 Ribu Kepada EBA

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengakui bahawa pihaknya dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah membayar RM39,088.10 kepada sebuah badan di United Kingdom untuk mendapatkan anugerah daripada Europe Business Assembly (EBA) pada tahun 2013 dan 2014.

Datuk Bandar MBPP, Datuk Maimunah Mohd Sharif berkata wang itu dibayar sebagai yuran penyertaan dan bukanlah untuk membeli anugerah tersebut seperti didakwa beberapa pihak.

Kata Maimunah, tindakannya dan Datuk Bandar MBPP ketika itu, Datuk Patahiyah Ismail telah mendapat kebenaran kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menghadiri majlis penganugerah tersebut di luar negara.

Beliau turut memohon maaf kerana tidak menyemak terlebih dahulu mengenai anugerah tersebut yang ternyata palsu, sebaliknya mendakwa akan lebih berhati-hati pada masa akan datang.

“Jika itu ialah anugerah palsu, saya minta maaf. Lain kali jika mahu menyertai atau dicalonkan sebarang anugerah, kami akan lebih berhati-hati,” katanya pada sidang media di Komtar hari ini, sejurus kembali dari Sidang Kemuncak Datuk Bandar Asean di Manila.

Beliau mendakwa tidak mencedari mengenai sebarang perkara mencurigakan kerana badan berkenaan pernah memberikan anugerah EBA kepada pelbagai agensi kerajaan, orang ternama dari pelbagai sektor dan juga institusi pengajian tinggi.

“Kami tidak menyedari sebarang perkara mencurigakan kerana bukan dua PBT dari Pulau Pinang sahaja, PBT lain serta institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, orang ternama dari sektor swasta dan awam turut menerima anugerah EBA, malah bersama kami menerima anugerah itu,”

Maimunah turut menafikan dakwaan beberapa pihak yang menuduh beliau dan Patahiyah menggunakan wang cukai rakyat untuk dibelanjakan sewenang-wenangnya bagi membeli sebarang anugerah dan pengiktirafan.

“Harus ditegaskan bukan dasar kami untuk membelanjakan wang pembayar cukai membeli sebarang anugerah ataupun pengiktirafan daripada mana-mana pihak,” katanya.

Pada 2013, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP kini dikenali sebagai MBPP) dicalonkan menerima anugerah “Best Cities” dan “Best Municipal Manager” dengan yuran penyertaan RM20,680.

Manakala pada 2014 pula MPSP dicalonkan anugerah ‘Best City’ dan ‘Best City Manager’ dengan telah membayar yuran penyertaan RM18,408.10 kepada badan itu.