Peneroka Perlu Biayai Sendiri Kos Rumah Tambahan, Kata Razali

Peneroka yang ingin membina lebih satu unit rumah di atas satu tapak, kini boleh berbuat demikian namun perlu membiayai kosnya sendiri tanpa bantuan kerajaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata kos pembinaan unit lain di tapak yang sama tidak akan dibiayai di bawah Skim Pinjaman Program Pembesaran Rumah FELDA yang diperkenalkan semenjak 2005

Kata Razali, skim pinjaman kepada peneroka itu hanya boleh dipohon untuk membesarkan rumah mereka dan bukan membina unit kedua di satu tapak.

“Insentif kelulusan lebih satu unit rumah di dalam satu tapak ini diberikan kerana sebelum ini hanya satu rumah dibenarkan dibina dalam satu tapak.

“Kelulusan ini tidak membabitkan sebarang peruntukan kerana kos dibiayai sendiri oleh peneroka,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak pada sambutan Hari Peneroka FELDA Peringkat Kebangsaan 2017 mengumumkan insentif untuk peneroka membina lebih daripada satu unit rumah dalam satu tapak di tanah rancangan FELDA.

Insentif tersebut dijangkakan mampu memberi manfaat kepada lebih 70,506 peneroka Felda