Rabies Menular Ke Dua Penempatan di Kuching

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini, mengisytiharkan Kampung Entubuh, Tebedu dan Batu 5, Jalan Semeba di Kuching, sebagai kawasan baharu wabak anjing gila atau Rabies.

Urus setia JPBN Sarawak dalam kenyataan berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi JPBN Datuk Douglas Uggah Embas bersama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Datuk Dr Sim Kui Hian di Hangar Hornbill Skyways Sdn Bhd pagi ini.

“Pengisytiharan warta ini dimaklumkan kerana ada kes positif virus ini pada anjing di kedua-dua kawasan berkenaan. Oleh itu, semua masyarakat terutamanya di kawasan terbabit dikehendaki menjaga anjing mereka di kawasan rumah masing-masing dan tidak membiarkan ianya berkeliaran,” katanya.

Berikutan perisytiharan itu, katanya, jumlah kawasan wabak bertambah kepada 20 kawasan.

“Di Serian, kawasan terjejas ialah Kampung Krait, Kampung Paon Rimu, Kampung Paon Rimu Bakung, Kampung Remun, Kampung Lebor, Kampung Saroban, Kampung Tangga, Kampung Ampungan, Kampung Mentong Berawan, Kampung Mentong Silaga, Kampung Engkabang, Kampung Tampek Sumpas, Kampung Rasau, Pekan Siburan, Bandar Serian dan Batu 45, Kuching-Sri Aman.

“Di Tebedu pula selain Kampung Entubuh, kawasan lain yang terlibat ialah Kampung Temong Mura manakala di Sri Aman ialah Rumah Janta Punggu Mawang, ” katanya. – BERNAMA