Menarik
Tarikh Hari Ini
17 August 2017

SPRM Nafi Dakwaan Kes Jabatan Air Sabah Tiada Unsur Rasuah

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menafikan dakwaan kononnya telah mengesahkan tiada unsur rasuah dalam kes Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) seperti yang tular di media sosial sejak semalam.

Menurut SPRM, dakwaan yang ditularkan pihak tidak bertanggungjawab itu adalah tidak benar sama sekali dan mengelirukan masyarakat.

Sehubungan itu, SPRM akan memantau dan mengkaji segala berita tidak sahih yang dimuat naik di mana-mana laman media sosial untuk memastikan tiada mana-mana pihak cuba mencemarkan reputasi suruhanjaya itu.

“Pengurusan Tertinggi SPRM sedang menimbang untuk membuat aduan polis terhadap mereka yang menyebar fitnah dalam media sosial supaya tindakan undang-undang diambil terhadap mereka,” kata SPRM dalam kenyataan hari ini.

Berhubung kes itu, kata SPRM, pada 29 Disember 2016, 3 individu telah pun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu atas kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM61.48 juta, selain memiliki secara salah barangan mewah dan sebutan kes tersebut telah ditetapkan pada 8 Ogos ini.

SPRM berkata ketiga-tiga tertuduh ialah bekas pengarah JANS Ag Mohd Tahir Mohd Talib dan isterinya Fauziah Ag Piut serta penasihat teknikal dan kejuruteraan Kementerian Kewangan Sabah, Lim Lam Beng.

Ag Mohd Tahir didakwa dengan 12 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 dan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Fauziah dan Lam Beng pula masing-masing didakwa dengan 19 pertuduhan bernilai RM2.2 juta dan 4 pertuduhan bernilai RM2.38 juta di bawah Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001.

“SPRM ingin menegaskan kesalahan di bawah AMLATFPUAA 2001 melibatkan hasil wang haram yang diperoleh daripada kesalahan mengikut Akta SPRM 2009 oleh perasuah,” katanya. – BERNAMA