Bekas Ketua Polis Negara Persoal Penubuhan RCI Memali

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar mempersoalkan tujuan cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat tragedi Memali yang berlaku pada November 1985.

Hanif, pada waktu kejadian sedang berada di luar negara kerana menyambung pelajaran, berkata Pemangku Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Mohamed Amin Osman dan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awan, Datuk Yahya Yeop telah pun meninggal dunia.

Kata beliau, ketiadaan dua pegawai utama polis yang terlibat secara langsung dalam usaha penahanan Ibrahim Libya akan akan menyukarkan siasatan kerana kekurangan maklumat sebenar, walaupun terdapat pegawai polis lain yang masih hidup kerana Amin dan Yahya merupakan perancang utama.

“Ketika itu, Tan Sri Mohamed Amin Osman bertindak sebagai pemangku Ketua Polis Negara dan Datuk Yahya Yeop ialah pengarah keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam.

“Saya rasa mereka yang mahukan RCI perlu menjelaskan mengapa mereka mahukannya. Kenapa Kertas Putih yang dikeluarkan kerajaan tidak mencukupi? Apakah objektifnya?” katanya kepada sebuah portal berita.

Tambah beliau, pihak yang mendesak penubuhan RCI perlu menjelaskan tujuan penubuhannya agar tidak wujud sebarang pertindihan maklumat berbanding penjelasan yang telah disediakan melalui Kertas Putih.

Kenyataan Hanif itu susulan desakan beberapa pihak terutama kepimpinan Pas yang mendesak agar kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat dan memperjelaskan kepada rakyat mengenai tragedi Memali.

Ahad lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya berkata bahawa kerajaan bersedia mempertimbangkan penubuhan RCI bagi menilai dan mengkaji tragedi tersebut seandainya ada permintaan dari orang perseorangan, organisasi ataupun parti politik.