Kerajaan Berjaya Kurangkan Hutang Negara, Kata Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak menegaskan bahawa hutang negara ketika ini berada dalam lingkungan terkawal, selain kerajaan berjaya mengurangkan jumlahnya.

Najib berkata kerajaan berjaya mengurangkan jumlah hutang negara kepada 52.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 54 peratus sebelum ini.

Katanya, kerajaan optimis mampu mengurangkan defisit fiskal negara daripada 6.7 peratus kepada sekitar tiga peratus pada hujung tahun ini dengan unjuran berimbang selain perbelanjaan terkawal.

“Soal 1MDB (1Malaysia Development Berhad (1MDB) pula, satu kenyataan sudah dikeluarkan. Itu soal teknikal saja, bukan soal tak mampu bayar balik, jadi dijangka (isu ini) tidak akan menjejaskan keyakinan (pelabur) kepada ekonomi negara kita.

“Kita juga sentiasa melakukan usaha memastikan rakyat teramai mendapat faedah daripada dasar kerajaan dan sebab itu, kerajaan mengumumkan pakej untuk peneroka FELDA, veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Insya-Allah dalam bulan mendatang, lebih banyak usaha akan dilakukan kerana kita sebagai kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk rakyat.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh menjanjikan benda tak masuk akal yang lazimnya dijanjikan pembangkang sebagai gula-gula untuk menyukakan hati rakyat, tetapi hakikatnya kita tahu ia tidak mampu dilakukan oleh mana-mana kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) yang bertanya mengenai kegagalan 1MDB menjelaskan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC), selain status hutang negara di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu Najib menyifatkan soalan Wan Azizah sebagai ‘syarahan mini’ apabila Ketua Pembangkang itu mengambil masa kira-kira empat minit untuk mengajukan soalan.

“Walaupun itu bukan soalan tambahan sebaliknya syarahan mini, tetapi tak apa saya terima kerana itu memang kerja pembangkang. Kalau tak buat begitu, payahlah daripada segi politik,” katanya.