Menarik
Tarikh Hari Ini
17 August 2017

Malaysia Perlu Terap Pemikiran Reka Bentuk Untuk Muncul 20 Negara Terkemuka Dunia, Kata Najib

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menggesa rakyat negara ini, khususnya generasi muda untuk menerapkan pemikiran reka bentuk yang menjadi antara usaha bersama mencapai aspirasi sebagai 20 negara terkemuka dunia menjelang 2050.

Perdana Menteri berkata, pemikiran sedemikian harus dimulakan segera sebagai langkah kecil untuk meningkatkan aspirasi yang juga antara matlamat di bawah gagasan Transformasi Nasional 2050.

“Kita menyedari bahawa sumber (kita) adalah terhad dan ia perlu dimaksimumkan. Kita perlu memanfaatkan apa sahaja yang dimiliki dan satu-satunya cara untuk berbuat demikian adalah menerusi kreativiti dan inovasi.

“Jika kita mahu menjadi 20 negara terkemuka di dunia, maka Malaysia…kita perlu memikirkannya dari segi bagaimana untuk menjana pertumbuhan eksponensial,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada majlis pelancaran Program Pemikiran Reka Bentuk Genovasi Malaysia dalam Bahasa Malaysia dan Mandarin di Kuala Lumpur, hari ini.

Genovasi Malaysia merupakan satu-satunya institusi khusus dalam pemikiran reka bentuk di Malaysia dan merupakan rakan terkemuka serantau bagi Hasso Plattner Institute School of Design Thinking di Universiti Potsdam, Jerman.

Mengulas selanjutnya, Perdana Menteri berkata selain melangkaui kemahiran analisis dan kritis, penuntut di Kolej Genovasi Malaysia yang akan ditubuhkan kelak, juga diajar dengan kemahiran praktikal serta diperkasakan dengan pengetahuan agar dapat menyumbang kepada tenaga kerja Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) secara berkesan.

Malah, bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pula, Najib berkata pemikiran reka bentuk itu mampu membolehkan mereka mencatat kejayaan dalam landskap digital.

“Saya percaya Genovasi dapat melengkapkan mereka dengan pemikiran inovasi yang membolehkan mereka bukan setakat memberi gerak balas terhadap perubahan persekitaran pasaran, tetapi juga selaku pencetus aliran dalam e-dagang serta ekonomi digital,” kata beliau.

Genovasi Malaysia yang dilancarkan pada Ogos, 2012, telah melatih kira-kira 4,000 peserta daripada kalangan masyarakat awam dan swasta menggunakan model pemikiran reka bentuk ‘Stanford d.school’ serta ‘Hasso-Plattner-Institut’.

Ia antara lainnya merupakan pendekatan berteraskan keinsanan dengan tumpuan kepada aspek empati dan pemahaman lebih mendalam terhadap keperluan pengguna. – BERNAMA