Polis Akan Siasat, Kenal Pasti Kemungkinan Unsur Sabotaj Dalam Buku Sukan SEA

Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) akan melakukan siasatan menyeluruh termasuk mengenal pasti kemungkinan wujud unsur sabotaj dalam isu kesilapan cetakan bendera Indonesia dalam buku cenderamata rasmi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya telah menerima laporan berhubung insiden tersebut dan akan meminta semua pihak agar memberi ruang kepada PDRM melakukan tugas mereka.

“Kita akan siasat untuk lihat sama ada terdapat unsur sabotaj atau tidak. Biarkan kami jalankan siasatan dahulu sebelum tindakan seterusnya,” katanya kepada wartawan di Kuala Lumpur, hari ini.

Kesilapan cetakan bendera Indonesia dalam buku cenderamata berkenaan menimbulkan kemarahan rakyat Indonesia sehingga menyebabkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengarahkan agar semua naskah buku rasmi itu tidak diedarkan lagi.

Khairy pada masa sama telah bertemu Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi untuk membuat permohonan maaf kepada kerajaan dan rakyat Indonesia.