Menarik
Tarikh Hari Ini
17 August 2017

Skandal FIC, Bekas Pegawai Khas Bekas Pengerusi Felda Ditahan SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas pegawai khas kepada bekas pengerusi Felda bagi membantu siasatan berhubung pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di Kuching, Sarawak.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata lelaki berkenaan ditahan pada jam 4 pagi tadi di pejabat SPRM Putrajaya selepas hadir memberi keterangan.

“Lelaki berkenaan dijangka direman pada 2.30 petang hari ini di Mahkamah Putrajaya,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Pelancaran Sahabat SPRM, di Kuala Lumpur.

Pada Jumaat lepas, Dzulkifli mengarahkan kertas siasatan dibuka untuk menyiasat pembelian hotel di Kuching itu yang disyaki dibeli dengan harga yang lebih tinggi daripada pasaran.

Setakat ini, empat individu sudah ditahan bagi membantu siasatan berhubung pembelian hotel berkenaan pada tahun 2014.

SPRM memulakan siasatan ke atas pembelian hotel di Kuching itu susulan maklumat yang diterima oleh pasukan penyiasat ketika menjalankan siasatan terhadap pembelian hotel di London oleh FIC sebelum ini. – BERNAMA