SPR Nafi Pilihan Raya Umum Akan Diadakan Oktober

Suruhanjaya Piliharaya (SPR) menafikan dakwaan bahawa pihaknya telah menetapkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) akan berlaku pada Oktober tahun ini seperti ditularkan beberapa pihak semenjak beberapa hari lalu.

Menurut kenyataan media dikeluarkan suruhanjaya itu, penularan video latihan simulasi kakitangan SPR yang dijadikan bahan untuk memperkukuhkan dakwaan tersebut dilihat berniat mencemari reputasi SPR.

Sehubungan dengan itu, SPR akan memantau dan mengkaji segala berita yang tidak sahih dan dimuat naik ke mana-mana laman sosial untuk memastikan tiada pihak mengambil kesempatan mewujudkan spekulasi tarikh pilihan raya sebelum diumumkan secara rasmi oleh suruhanjaya itu.

Dalam kenyataan itu juga, SPR berkata pihaknya sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang termasuk membuat laporan polis terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan fitnah dalam media sosial.

Sehingga kini, SPR memaklumkan belum mempunyai sebarang tarikh untuk pilihan raya diadakan namun pihaknya telah bersedia seandainya sebarang kemungkinan berlaku pada bila-bila masa.