Anggota Polis Disyaki Minta Dan Terima Rasuah Ditahan SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang koperal polis di Kulai malam tadi kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah daripada seorang guru agama.

Menurut sumber, suspek berusia 49 tahun itu bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kulai dan ditahan di sebuah bengkel membaiki kereta kira-kira 9.30 malam tadi bagi membantu siasatan.

Suspek disyaki menerima wang rasuah sebanyak RM3,000 daripada guru agama terbabit sebagai dorongan menyelesaikan siasatan satu kes dadah membabitkan dirinya yang sedang dijalankan oleh Bahagian Narkotik IPD Kulai, Johor.

Susulan tangkapan itu, pasukan penyiasat SPRM melakukan penggeledahan di dua lokasi berbeza di Johor dan menyita akaun bank serta beberapa dokumen berkaitan kes.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, memperuntukkan hukuman denda dua kali nilai rasuah atau RM10,000, mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata suspek direman seminggu bermula hari ini hingga 13 Disember depan berikutan perintah yang dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Johor Bahru Faridatul Farrah Mohd Shukri. – BERNAMA