Beli Barangan Tempatan Tanda Protes Terhadap Israel, US, Kata Pekira

Pengguna di negara ini digesa mengutamakan pembelian barangan keluaran tempatan sebagai tanda protes terhadap tindakan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Presiden Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira) Datuk Mohd Redzuan Abdullah berkata langkah solidariti bersama rakyat Palestin itu relevan dan mampu dilaksanakan kerana kualiti barangan buatan negara juga setanding dengan barangan import terutama dari AS.

“Kita tidak mahu hanya berkata kita mahu boikot produk atau barangan keluaran syarikat yang mempunyai kepentingan dengan Israel, kita juga memberi jalan alternatif buat rakyat Malaysia.

“Kita utamakan produk keluaran kita sendiri dan mengurangkan kebergantungan kita pada produk luar,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Keputusan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis menimbulkan ketegangan baharu di Palestin ketika ini, serta bantahan masyarakat Islam di seluruh dunia. – BERNAMA