Empat Belas Cedera Dalam Kemalangan Bas Ekspres Berhampiran UTC Gopeng

Empat belas orang termasuk 12 penumpang sebuah bas ekspres dua tingkat cedera dalam kemalangan di KM294.7 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara sebelum Pusat Transformasi Bandar Gopeng pagi tadi.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai, S Ganeson berkata kemalangan kira-kira 5.30 pagi itu melibatkan bas ekpres berkenaan dengan sebuah lori kontena dan lori membawa muatan kertas.

Beliau berkata pihaknya difahamkan bas ekspres yang membawa 12 penumpang sedang dalam perjalanan dari Singapura ke Ipoh.

“Kami menerima panggilan mengenai kemalangan itu kira-kira pukul 5.41 pagi sebelum 12 anggota masing-masing 6 dari Balai Simpang Pulai dan Gopeng dikejarkan ke tempat kejadian untuk operasi menyelamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebaik tiba di lokasi, Ganeson berkata pihaknya mendapati 12 penumpang bas ekspres terbabit serta pemandunya mengalami kecederaan.

“Pemandu lori kentena juga cedera akibat tersepit, manakala pemandu lori selamat,” katanya.

Semua yang cedera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan dan operasi menyelamat tamat kira-kira pukul 7.21 pagi. – BERNAMA