Kerajaan Beri Penekanan Pupuk Kreativiti Dan Inovasi Kalangan Rakyat Malaysia

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan terus memberi penekanan dalam memupuk kreativiti dan inovasi dalam kalangan rakyat Malaysia dalam usaha untuk menjana peluang ekonomi baharu dan membawa negara ke tahap lebih tinggi.

Beliau menegaskan bahawa pereka cipta muda berada di barisan hadapan untuk melaksanakan wawasan negara ke generasi berikutnya sejajar dengan program Transformasi Negara 2050 (TN50) yang akan menetapkan hala tuju bagi tiga dekad akan datang.

“Jelas bahawa kita mempunyai begitu banyak usahawan muda yang berbakat dan kita mesti memastikan untuk memupuk mereka agar mereka dapat melakar kejayaan,” katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak Komuniti Keusahawanan Global (GECommunity) 2017 bermatlamat sebagai pemangkin perkembangan dan kemajuan pergerakan keusahawanan global di Kuala Lumpur hari ini.

Najib berkata di Malaysia, kerajaan melaksanakan inovasi dalam sektor awam dengan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang telah mengubah cara kerja kerajaan, dan memberi sumbangan penting kepada pembangunan negara.

Majlis hari ini turut menyaksikan anugerah yang julung kali diadakan, ‘Anugerah Anjakan Lautan Biru Global’ disampaikan oleh Najib kepada beberapa penerima termasuk Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa atas usaha mereka dalam melaksanakan ‘strategi lautan biru’ itu.

Anugerah itu bagi mengiktiraf tugas individu yang mewujudkan ‘lautan biru’ mereka sendiri, membuka peluang dan pertumbuhan serta mewujudkan saluran baharu bagi perkembangan ekonomi.

Ia juga bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang yang dilakar merangkumi sektor awam, swasta dan sosial keseluruhannya.

Ketika berucap, Najib berkata sejak diperkenalkan pada 2009, NBOS menjadi tonggak utama dalam transformasi negara oleh kerana kerajaan menyusul apa yang dikenali sebagai proses Anjakan Lautan Biru untuk menangani pelbagai bentuk isu ekonomi serta sosial, dan secara pantas serta menyampaikan inisiatif berimpak tinggi bagi manfaat rakyat dengan melibatkan kos yang rendah kepada kerajaan.

Beliau berkata lebih 90 kementerian dan agensi kerajaan bergandingan untuk memecahkan silo birokrasi dan mewujudkan inisiatif yang kreatif serta inovatif untuk membawa perubahan kepada negara.

Sehingga kini, lebih 115 inisiatif berimpak tinggi telah pun diwujudkan di bawah NBOS seperti Pusat Transformasi Bandar, 1Malaysia for Youth (iM4U), MaGIC atau Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), dan banyak lagi.

Perdana menteri menegaskan bahawa NBOS akan terus menjalankan peranan penting, terutamanya dalam melaksanakan agenda Transformasi Negara 2050.

“Kita perlu mengekalkan momentum inovasi ini kerana saya percaya bahawa kita berada di tahap tertinggi fasa baharu revolusi digital,” katanya.

Beberapa kementerian berganding bahu untuk menganjurkan sidang kemuncak itu seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan Tinggi, dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. – BERNAMA