PM Ketuai Delegasi Negara Ke Sidang Kemuncak OIC, Bincang Isu Baitulmaqdis

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berlangsung di Istanbul, Turki pada 13 Disember ini.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, perdana menteri akan diiringi oleh isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan pegawai kanan kerajaan.

Sidang Kemuncak Luar Biasa itu diadakan atas permintaan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dalam kapasitinya selaku Pengerusi Sidang Kemuncak Islam Ke-13, berikutan pengumuman Amerika Syarikat (AS) pada 6 Disember 2017, yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, katanya.

Sidang Kemuncak itu didahului Mesyuarat Pegawai Kanan pada 12 Disember ini dan diikuti Mesyuarat Majlis Menteri-menteri Luar pada keesokan harinya.

Persidangan itu juga akan mengkaji semula perkembangan dan membincangkan kesan berikutan pengumumam pentadbiran AS untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Penglibatan Malaysia di dalam sidang kemuncak itu mengukuhkan lagi komitmen dan sokongan tidak berbelah bagi kepada rakyat Palestin dalam perjuangan mereka mendapatkan hak mereka untuk sebuah negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.– BERNAMA