Wisma Putra Gesa AS Nilai Semula Iktiraf Baitulmaqdis Sebagai Ibu Negara Israel

Amerika Syarikat perlu nilai semula keputusannya untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Wisma Putra dalam kenyataannya hari ini berkata keputusan itu akan menamatkan segala usaha ke arah menyelesaikan masalah berkaitan rakyat Palestin.

“Ia akan memberi kesan amat buruk bukan sahaja kepada keselamatan dan kestabilan di rantau berkenaan, tetapi turut menyemarakkan sentimen, sekaligus semakin menyukarkan usaha memerangi keganasan.

“Malaysia menegaskan Baitulmaqdis teras kepada perjuangan rakyat Palestin dan meminta semua negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu supaya tidak mengiktiraf sebarang perubahan dalam persempadanan pra 1967, termasuk yang berkaitan dengan Baitulmaqdis,” menurut kenyataan itu lagi.

Wisma Putra berkata sebarang percubaan mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, mewujudkan atau memindahkan perwakilan diplomatik ke bandar itu dianggap pencerobohan bukan sahaja terhadap Arab dan umat Islam tetapi juga melanggar hak umat Islam serta penganut Kristian.

“Ia juga melanggar hak kewarganegaraan penduduk Palestin, termasuk hak mereka untuk menentukan sendiri masa depan dan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang dahsyat, termasuk resolusi Majlis Keselamatan yang relevan, iaitu Resolusi No. 252 (1968), 267 (1969), 465, 476 dan 478 (1980) dan terkini, Resolusi 2334 (2016).

“Mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel bukan dibuat berdasarkan realiti, sebaliknya suatu penyataan sokongan kepada dasar Israel, lebih kepada perbuatan melanggar undang-undang antarabangsa. Besar kemungkinan ia tidak betul,” kata Wisma Putra. – BERNAMA