Kamera Litar Tertutup Hanya Dipasang Di Sekolah Bermasalah Disiplin

Kamera litar tertutup (CCTV) hanya akan dipasang di sekolah yang dikenal pasti mempunyai rekod masalah disiplin, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, kementeriannya menyambut baik usaha pemasangan CCTV di sekolah kerana ia kini dilihat sebagai satu keperluan dalam usaha menghadapi pelbagai kemungkinan, namun ia tidak melibatkan semua sekolah di negara ini.

“(Namun) CCTV ini tidak akan dipasang di keseluruhan kawasan sekolah, sebaliknya hanya di tempat tertentu sahaja, manakala pihak Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat Pelajaran Daerah boleh berperanan dalam menentukan sekolah mana terlibat, terutamanya yang dikenal pasti berisiko serta terdedah kepada pelbagai masalah.”

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan pada Program Hari Keluarga di Kampung Baru Lembah Permai, Kuala Nerang hari ini.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyambut baik usaha memasang CCTV di sekolah, namun berharap tindakan itu tidak mengganggu privasi pelajar dan guru.

Mahdzir turut mengesyorkan elemen CCTV itu terkandung dalam skop kerja Perkhidmatan Kawalan Keselamatan di bawah kementeriannya ketika ini.

“Sebenarnya pemasangan CCTV ini boleh dilakukan tanpa perlu mengeluarkan peruntukan banyak kerana setiap sekolah sudah mempunyai peruntukan untuk kawalan keselamatan di sekolah.

“Jadi, saya berharap pemasangan CCTV ini boleh dimasukkan dalam bajet Perkhidmatan Kawalan Keselamatan supaya ianya boleh dilaksanakan tanpa perlu mengeluarkan bajet yang baharu.” – BERNAMA