Mohamed Azmin Berkebolehan, Namun Tidak Dipilih Sebagai PM PH, Kata Dr Mahathir

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamed mengakui bahawa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai seorang pemimpin berkebolehan untuk dicalonkan sebagai perdana menteri seandainya gabungan pembangkang itu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14).

Bagaimanapun Dr Mahathir menegaskan bahawa kriteria sebagai pemimpin berkebolehan belum mencukupi untuk dicalonkan sebagai perdana menteri seandainya tidak dipilih oleh kepimpinan parti.

“Beliau cukup berkebolehan tetapi tidak terpilih. Anda tidak saja perlu berkebolehan tetapi mesti dipilih. Saya tak tahu sama ada saya berkebolehan tetapi mereka telah memilih saya,” katanya kepada pemberita selepas menjadi anggota panel Forum Wawasan 2020, hari ini.

Kenyataan Dr Mahathir itu sebagai mengulas persoalan yang ditimbulkan mengenai cadangan nama lain termasuk Mohamed Azmin sebagai calon perdana menteri PH.

Dr Mahathir, semalam, dilaporkan tidak mahu menjadi perdana menteri jika PH memenangi PRU 14, namun mendakwa telah diminta agar menerima pencalonan tersebut oleh kepimpinan gabungan pembangkang.

Diminta mengulas mengenai komen anak perempuan mendiang Karpal Singh yang menyelar pencalonannya sebagai perdana menteri PH, Dr Mahathir berkata bahawa sesiapa sahaja berhak memberikan pendapatan mereka, namun beliau perlu lebih menghormati pihak yang menyokong dan menaruh kepercayaan kepadanya.

Forum Wawasan 2020 yang menampilkan Dr Mahathir sebagai salah satu panel hanya mampu menarik kehadiran 300 orang berbanding sasaran awal 1,000 orang dan bermula 3.15 petang semalam di Itech Tower, Cyberjaya.