MTEM Gesa Kerajaan Timbang Gaji Minimum RM1,800, Baharui DEB

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menyarankan kerajaan mempertimbangkang beberapa perkara termasuk pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,800 bagi mengimbangi peningkatan sara hidup yang dilihat terus menekan rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Ahmad Yazid Othman berkata peningkatan kos sara hidup yang berterusan menyebabkan penetapan gaji minimum sebanyak RM1,000 yang ditetapkan kerajaan sebelum ini dilihat tidak lagi relevan.

Katanya lagi, selain penentapan gaji minimum, MTEM juga mencadangkan agar kerajaan memperbaharui Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan sebelum ini bagi memenuhi matlamat mengurangkan jurang ekonomi kalangan rakyat di negara ini.

“Dasar ekonomi sekarang tak relevan. Gaji minima juga perlu diperbaharui.

“Buat DEB 2.0, sambung balik kerja-kerja (dari DEB) yang belum selesai. Kita perlukan DEB yang baru dan peningkatan gaji minimum. Hentikan segala diskriminasi.

“Gaji tak naik, kos sara hidup tinggi. Tak selari,” katanya pada Konvensyen Kebangkitan Ummah di ibu negara hari ini.

Tambahnya, wujud beberapa lagi pendekatan DEB yang belum selesai dilaksanakan sehingga matlamat untuk memberi ruang ekonomi kepada semua kaum dilihat hanya menguntungkan pihak tertentu sahaja.

“Kena kaji balik. Kaji semua industri agar ada ruang untuk semua bangsa.

“Macam supply chain masih lagi dikuasi oleh sesetengah kaum. Isu ketidakadilan dari segi kaum, gender. Masih lagi belum memuaskan. Masih lagi ada industri yang tiada langsung penglibatan bumiputera,” katanya lagi.

Menurutnya, pelaksanaan DEB yang diperbaharui itu nanti diharapkan dapat mengurangkan jurang tangga gaji antara setiap golongan dan menjadikan kehidupan rakyat lebih baik.

Selain dua perkara tersebut, beliau turut menggesa kerajaan menghadkan tender terbuka dan urusan terus, sebaliknya membuka lebih banyak tender terhad yang memberi peluang kepada golongan Bumiputera.

“Kita juga nak minta agar kerajaan tidak buat tender terbuka atau urusan terus (direct negotiation). Tapi buat tender terhad atau carve out. Hanya bumiputera sahaja yang boleh masuk.”