Adun Selangor Dikritik Netizen Dek Status Twitter

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Tiga, Rodziah Ismail hari ini menerima kecaman hebat netizen pro-Umno selepas memuat naik status ke akaun Twitter peribadinya mengenai kesukaran mencari rezeki di negara ini sehingga memaksa suaminya berhijrah ke luar negara.

Melalui akaun Twitter, @Rodziah_Ismail, Adun itu memuat naik sekeping foto dengan status seolah-olah menyindir keadaan ekonomi semasa negara sehingga memaksa rakyat Malaysia berhijrah ke negara asing untuk mencari rezeki.

Walaupun menerima kecaman hebat, namun sehingga kini Adun Batu Tiga itu mengambil keputusan berdiam diri dan tidak melayan kritikan netizen.

Seorang netizen pro-Umno, Neezam Perkasa mendakwa kenyataan Rodziah melalui akaun Twitter-nya itu tidak mencerminkan keadaan sebenar ekonomi negara.

Neezam turut mempertikaikan tindakan Rodziah yang mampu menghantar suaminya mencari rezeki di luar negara tetapi mengeluarkan kenyataan seolah-olah keadaan ekonomi di negara ini sangat genting.