Pegawai Khas Zahid Hamidi Sahkan ‘Surat Layang’ Palsu

Pegawai Khas Timbalan Perdana Menteri, Azizul Hakim Abdul Aziz mengesahkan bahawa surat layang didakwa ditulis Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan tersebar melalui media sosial adalah fitnah oleh pihak tertentu yang ingin mewujudkan persepsi negatif terhadap pemimpin itu.

Menurut Azizul, cubaan merosakkan imej Timbalan Perdana Menteri mula dikesan apabila Ahmad Zahid difitnah kononnya meletakkan batu asas kuil demi meraih sokongan kaum India melalui sebuah video.

Dan disusuli dengan penyebaran grafik Naib Presiden Umno itu meminta Dato’ Seri Najib Tun Abd Razak berundur.

Kemudian diikuti pula dengan sebaran gambar surat layang yang kononnya Ahmad Zahid akan menjadi Perdana Menteri baru seandainya Najib berundur.

Tegas Azizul, segala maklumat yang tersebar itu palsu dan hanya bersifat propaganda untuk mewujudkan ketegangan dalam Umno.

Sambil mengingatkan pihak terbabit supaya berhati-hati kerana PDRM dan SKMM sedang mengesan mereka, Azizul menegaskan akan mendedahkan “algojo” yang menyebarkan semua fitnah berkenaan.