PH Tidak Putus Asa Angkat Anwar Jadi PM, Kata Wan Azizah

Pakatan Harapan (PH) akan terus berusaha untuk memastikan pemimpin de facto PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia walaupun beliau kalah dalam rayuan kedua sabitan kes liwatnya.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail percaya bahawa nasib menimpa suaminya itu sama seperti dialami mendiang Nelson Mandela yang menjadi Presiden Afrika Selatan selepas 27 tahun meringkuk dalam penjara demi memperjuangkan hak rakyat.

Malah menurut beliau, PH sentiasa konsisten untuk pendirian tersebut dalam memastikan Anwar akan menjadi Perdana Menteri pada masa akan datang.

Sementara itu ketika ditanya mengenai calon perdana menteri calon bayangan PH, beliau berkata akan berbincang dengan parti gabungan lain dalam pakatan itu, sementara menunggu Anwar bebas dan layak untuk memimpin Malaysia.