“Ratu Naga” Mandi Tepung Diserang Penyokong Jamal

Netizen pro-PKR, Syarul Ema Rena mendakwa dirinya dibaling dengan tepung, telur dan air di hadapan rumah Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos di Ampang oleh kira-kira 30 orang penyokong pemimpin itu pagi ini.

Syarul Ema atau dikenali dengan nama samaran Ratu Naga berkata kehadirannya ke rumah tersebut bertujuan untuk menghantar bekalan air memandangkan pemimpin berkenaan mendakwa bahawa rumahnya mengalami gangguan bekalan air dan tidak mandi selama empat hari.

Syarul Ema turut mendakwa berlaku pergelutan kecil antara dirinya dan kumpulan penyokong Jamal, namun mendakwa dirinya terselamat kerana dilindungi oleh suaminya.

Tindakannya menghantar bekalan air ke rumah Jamal didakwa beberapa pihak sebagai provokasi terhadap protes dilakukan pemimpin Baju Merah itu di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, semalam.

Beberapa netizen mengkritik tindakan Syarul Ema yang disifatkan hanya bermotifkan politik dan mencari publisiti.