Skandal BMF Cubaan Najib Alih Perhatian Rakyat, Kata Peguam

Skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) sengaja dimainkan semula dengan mengaitkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed demi mengalih perhatian rakyat daripada isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), kata peguam Haniff Khatri Abdulla.

Menurut Haniff, serangan dilakukan kerajaan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak merupakan taktik untuk mempertahankan diri bagi menutup perbincangan umum mengenai syarikat pelaburan strategik milik kerajaan.

“Taktik ini dapat dilihat dengan percubaan untuk salah kait isu skandal BMF dengan Dr Mahathir semata-mata.

“(Ia) kerana skandal itu didedahkan pada era kepimpinan Dr Mahathir walaupun asal-usul skandal itu bermula sebelum zaman kepimpinan Dr Mahathir sebagai perdana menteri,” katanya.

Mengulas lebih lanjut lanjut, Haniff berkata kepimpinan Najib cuba untuk mengalihkan perhatian rakyat dengan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) menjalankan siasatan berhubung skandal tersebut.

“Tanpa perlu mendalami isu dakwaan kerugian tukaran asing pada 1990-an itu, di tahap ini, di sini, apa yang lebih penting untuk rakyat yang prihatin selami dan fahami adalah percaturan jahat pihak Najib.

“(Ia) untuk salah alih pandangan dari skandal 1MDB dan krisis hilang percaya kepada kepimpinan Najib Razak kepada isu yang tidak mempunyai merit,” katanya lagi.

Haniff percayaa skandal BMF itu akan digunakan kepimpinan Najib bagi mengikis kepercayaan rakyat terhadap isu kleptokrasi kerajaan yang sedang dibawa oleh mantan Perdana Menteri itu..

Selasa lalu, Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) mendedahkan urusaan meragukan melalui BMF di era pemerintahan Mahathir yang mengakibatkan kerugian kepada negara kira-kira AS$10 bilion pada 1980-an.

Laporan tersebut turut diulas oleh bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid yang mendakwa kerugian bank pusat dalam pasaran tukaran asing tidak disiasat.

Abdul Murad Khalid berkata, Laporan Tahunan BNM pada 1994 hanya mencatatkan kerugian sebanyak RM9 bilion sahaja akibat kegiatan itu, sedangkan angka sebenar adalah jauh le­bih besar.

Menurut beliau, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pernah meminta BNM memberi penjelasan tentang kerugian yang dikatakan terbesar pernah dicatatkan dalam sejarah perbankan antarabangsa itu.

“Apa yang pelik, tiada siasatan lanjut dijalankan walaupun kerugian mencecah AS$10 bi­lion. Pihak berkuasa mempersoalkan perkara ini namun ia terhenti di situ,” katanya kepada pemberita Jumaat lalu.