AMK Tuntut Najib, KJ Mohon Maaf Atas Protes Jamal

Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini menuntut Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan seluruh rakyat Selangor atas kejadian protes di hadapan Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam, semalam yang didakwa mencemarkan imej Melayu dan Islam.

Timbalan Ketua AMK Pusat, Dr Afif Bahardin berkata protes yang diadakan oleh Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dan Exco Pemuda Umno Malaysia, Datuk Armand Azha Abu Hanifah itu biadab dan tidak berperikemanusian.

Afif berkata lagi, kegagalan Najib dan Khairy membuat permohonan maaf dalam tempoh 24 jam membuktikan bahawa tindakan dua kepimpinan Umno itu direstui oleh mereka.

“Jika mereka gagal untuk meminta maaf dalam tempoh 24 jam, ini membuktikan bahawa Datuk Seri Najib dan YB Khairy membenarkan dan merestui tindakan biadap ahli mereka yang telah mencemar imej Islam dan Melayu.

“Angkatan Muda KEADILAN mengecam sekeras-kerasnya tindakan Datuk Jamal Yunos dan Datuk Armand Azha Abu Hanifah yang telah menganggu ketenteraman awam di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan semalam,” kata Afif melalui kenyataan kepada media.

Tambah Afif lagi, tindakan membawa keranda dan menggunakan van jenazah itu menunjukkan bahawa Umno sentiasa mengamalkan budaya politik tidak matang, biadab serta membelakangkan kesantunan sebagai orang Melayu dan Islam.

“Sekali lagi UMNO telah membuktikan betapa mereka adalah sebuah parti yang terdesak dan berada di dalam krisis kepercayaan yang parah sehingga sanggup untuk terus menerus menggunakan tindakan biadap dan jahat untuk berdepan dengan pimpinan Keadilan.

“Ini adalah bukti bahawa UMNO dan Pemuda UMNO terdiri daripada mereka yang gasar (barbaric), biadap dan tidak langsung mencerminkan budaya sebagai seorang Melayu dan muslim yang baik,” katanya lagi.

Menurut Timbalan Ketua AMK itu lagi, tindakan kepimpinan Umno itu amat dikesali di saat Azmin sedang dirundung kesedihan di saat ibunya berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Damansara.

“Tindakan biadap UMNO dan Pemuda UMNO Malaysia ini membuktikan betapa mereka ini adalah ‘binatang politik’ yang tidak punya hati perut dan tidak berperikemanusiaan dan sanggup melakukan apa saja untuk menyerang dan menghina musuh politik mereka,” tambah Afif lagi.