Tun Dr Mahathir Terima Baik Tubuh RCI Siasat Skandal Foren, BMF

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed menerima baik cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung skandal Bumiputra Malaysia Finance (BMF) dan dagangan tukaran wang asing (Forex) yang dijadikan serangan terhadapnya ketika ini.

Beliau malah bersedia dengan penubuhan RCI demi memastikan kebenaran ditegakkan, namun mahu tindakan sama diambil terhadap isu wang derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri dan juga penyelewengan yang berlaku dalam 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Mereka dialu-alukan untuk berbuat demikian (menubuhkan RCI) tetapi kami mahu perkara sama terhadap wang komisen RM2.6 bilion yang masuk ke akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan juga apa yang berlaku terhadap 1MDB,” katanya Mahathir dalam sidang media di Petaling Jaya, hari ini.

Selain Mahathir, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang turut berkongsi pandangan sama berhubung isu ini.

“Saya telah meminta untuk menubuhkan RCI bagi isu BMF dan urusan forex Bank Negara, dan saya kekal dengan pendirian itu.

“Tetapi apa yang lebih penting sekarang ialah 1MDB,” tambah Lim.

Lim turut mendakwa Najib sebagai individu bertanggungjawab memandangkan beliau merupakan Menteri Pertahanan pada 1991, ketika skandal berkenaan berlaku.