Kit Siang Patut Sandang Pengerusi PH – Ismail Sabri

Penasihat DAP Lim Kit Siang sepatutnya menyandang jawatan pengerusi Pakatan Harapan memandangkan DAP merupakan parti terbesar dalam pakatan tersebut, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata jika Lim melantik orang Melayu untuk menyandang jawatan itu, ternyata ia adalah muslihat untuk memperdaya pengundi Melayu.

“Lim Kit Siang jangan cuba perlekeh dan perdaya minda orang Melayu terhadap hakikat sebenar iaitu Pakatan Harapan dikuasai dan dimiliki oleh DAP.

“Kita semua tahu bahawa DAP adalah sebuah parti yang didominasi oleh kaum Cina dan Lim Kit Siang tidak pernah memberi ruang kepada kaum Melayu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu juga berkata Lim perlu memegang jawatan pengerusi jika mahu membuktikan pakatan itu bukan ‘Pakatan Ali Baba’.

Ismail Sabri berkata orang Melayu perlu sedar bahawa Lim perlukan undi orang Melayu sebagai batu loncatan untuk menguasai Putrajaya.

Pakatan Harapan yang dianggotai DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebelum ini dilaporkan akan mengemukakan permohonan untuk pendaftaran rasmi kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diumumkan sebagai penasihat bersama jawatankuasa pro-tem pakatan itu dengan penyandang jawatan pengerusi masih menjadi tanda tanya. – BERNAMA