Melayu Akan Hilang di Dunia Akibat Ketamakan Nafsu, Amaran Tun M

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan kebimbangannya mengenai survival bangsa Melayu pada masa hadapan disebabkan semangat kebangsaan yang semakin luput kalangan bangsa itu hari ini.

Sambil menyifatkan kata-kata “Tak akan Melayu hilang di dunia” tidak mencerminkan nasib Melayu di zaman ini, Mahathir beranggapan bahawa bangsa Melayu akan hilang jika terus mengikut ketamakan nafsu.

“Apakah buku sejarah di zaman akan datang akan tertulis di dalamnya, ‘Maka di zaman dahulu terdapat satu bangsa yang dikenali sebagai Melayu, yang sudah pun hilang, kerana semangat bangsa luput diganti dengan ketamakan nafsu’,” tulisnya dalam catatan blog terkini.

Menurut bekas perdana menteri itu, tidak mustahil bangsa Melayu akan gagal dan hilang di muka bumi kerana mereka sudah hilang semangat kebangsaan.

“Sesungguhnya saya amat sedih akan kehilangan semangat kebangsaan di kalangan orang Melayu, tua dan muda.

“Jika tidak diupah dengan duit, pangkat atau jawatan, kontrak atau sebagainya biarlah negara hancur, tidak ada apa-apa yang sanggup dibuat untuk menyelamatnya. Jauh sekali dari menghadapi sedikit risiko.”

Pengerusi PPBM itu turut membandingkan sikap orang Melayu di zaman ini dengan zamannya yang sangup mengorbankan harta dan kehidupan sendiri demi memperjuangkan kebebasan negara, serta menebus maruah bangsa tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

“Hari ini orang Melayu sudah banyak berubah. Bagi ramai daripada kita, sudah tidak ada lagi kesayangan kepada bangsa dan negara. Semangat kebangsaan dicemuh sebagai perkauman – racist. Kita malu jika bersemangat Melayu.” tulis beliau lagi di blognya.