Pas Akan Nyata Pendirian Selepas Tiga Exco Selangor Dipecat

Pas akan menyatakan pendirian berhubung kedudukan 13 Adunnya di Selangor sekiranya tiga exco dari parti itu dipecat dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi berkata dakwaan sebuah akhbar berbahasa Inggeris kononnya semua Adun Pas di negeri Selangor bersedia keluar daripada pentadbiran negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dianggap sebagai tuduhan tidak berasas.

“Itu tak benar. Nak tahu benar, selepas dipecat, barulah kita akan beritahu sesuatu yang benar,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Selangor Agrofest 2017 di Stadium Sungai Besar, di Sabak Bernam, petang semalam.

Kata Sallehen, Pas tidak pernah berbincang berhubung tindakan yang akan diambil parti itu sekiranya tiga exco parti itu dipecat dalam pentadbiran kerajaan Selangor.

“Kita tak bincang sampai ke peringkat exco dipecat. Kalau exco Pas dipecat, saya tidak dapat jawab apa-apa setakat ini,” katanya.

Adun Sabak itu bertegas bahawa Pas tidak akan meneruskan kerjasama dengan PKR seperti yang telah diputuskan Majlis Syura Ulama partinya.

“Untuk setakat ini, Pas tak akan bincang dengan PKR soal calon bagi hadapi PRU-14.

“Kalau dulu, orang Pas boleh panjat pokok kelapa pasang bendera PKR, sekarang PKR dan Pas kena panjat sendiri,” katanya.

Ditanya, adakah Pas akan berubah fikiran dengan menjalin semula kerjasama dengan PKR di saat-saat akhir bagi menghadapi PRU-14, Sallehen berkata beliau tidak mahu menjangkakan perkara yang akan berlaku pada masa depan.

“Mungkin ada perubahan-perubahan baru dan ada keadaan jauh lebih baik.

“Saya pun tak nak menjangkakan apa yang ada ini kekal. Buat setakat ini, begitulah keputusan yang kita buat,” katanya.

Sementara itu, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, beliau akur apa jua keputusan pimpinan Pas.

“Saya tak nak berbincang soal kemungkinan. Selagi masih berada dalam exco, saya akan tetap berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Ditanya tentang hubungannya dengan pentadbiran kerajaan negeri, Zaidy menjelaskan, hubungan itu berjalan baik dan tiada masalah.

“Kita kena bezakan antara parti dan kerajaan. Kalau tengok program hari ini pun, ramai pemimpin PKR yang hadir termasuk DAP yang diwakili Adun Sekinchan, Ng Suee Lim,” katanya.