Menarik
Tarikh Hari Ini
17 August 2017

Tindakan Tun M, Muhyiddin Tidak Pegang Sepanduk “Anwar PM Ke-7” Curi Tumpuan

Tindakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak memegang sepanduk “Anwar PM Ke-7” semasa semua pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) berbuat demikian mencuri tumpuan umum.

Mahathir yang dilihat memegang telefon bimbit, manakala Muhyiddin tidak memegang sepanduk menimbulkan tanda tanya sama ada tindakan tersebut disengajakan atau sebaliknya.

Mengulas tindakan tersebut, Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata tindakan Mahathir itu disebabkan bekas perdana menteri itu sibuk mengambil gambar kerana teruja berada dalam Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ke-12 di Shah Alam, hari ini.

“Saya rasa mereka sibuk mengambil gambar dan disebabkan itu tidak memegang sepanduk,” katanya sambil menambah beliau juga tidak diberikan sepanduk berkenaan.

Terdahulu perwakilan PKR hari ini sebulat suara memilih pemimpin de facto parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri ketujuh seandainya PH berjaya menawan Putrajaya.

Malah pemilihan itu diterjemah melalui sepanduk “Anwar PM Ke-7” sebaik sahaja presiden parti itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selesai menyampaikan ucapan dasar presiden dan tayangan video Anwar.

Mukhriz ketika diminta mengulas mengenai cadangan PKR untuk menamakan Anwar sebagai bakal perdana menteri berkata keputusan tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat PH pada sesi akan datang dan diumumkan sebelum pilihan raya.

Menurutnya keputusan tersebut perlu mendapat persetujuan bersama parti-parti dalam PH agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi.

Kepimpinan PPBM hari ini hadir ke Kongres Nasional Tahunan PKR Ke-12 di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam sebagai tanda sokongan kepada sekutunya.

Hadir sama pada kongres tersebut adalah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.