Menarik
Tarikh Hari Ini
17 August 2017

Tuduhan Kerjasama Umno-Pas Hanya Dongeng PPBM, Kata Tuan Ibrahim

Pas menempelak cara kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang berterusan menyerang parti itu dengan bermodalkan maklumat tidak tepat dan diperolehi dari sumber tidak sahih.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tindakan PPBM menjaja kisah hubungan baik Pas dan Umno sehingga menuduh parti Islam itu sudi bekerjasama dalam soal kerusi pada PRU14 merupakan kenyataan dangkal dan dongeng.

Kata Tuan Ibrahim lagi, partinya secara konsisten sejak dari dahulu lagi menerusi Majlis Syura Ulama telah membuat penafian yang jelasnya tidak mempunyai sebarang kerjasama dengan Umno melalui politik.

“Bahkan semua kerusi kita lawan Umno. Di Kelantan pun tak ada menunjukkan kerjasama Umno dengan Pas, mereka pindahkan undi dan sebagainya, itu membuktikan tuduhan itu bohong.

“Saya fikir kalau kita pimpinan yang percaya kepada maklumat tepi jalan, kita tidak layak bercakap sebagai pemimpin. Saya fikir beliau sepatutnya dapatkan maklumat yang betul,” katanya kepada media semalam.

Terdahulu beliau menyampaikan Kuliah Jumaat di Medan Ilmu sempena perasmian Tabung Ihya Ramadan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar raya Islam (MPKB-BRI) yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Tambah beliau, Majlis Syura Ulama juga telah mengeluarkan pekeliling rasmi mengenai soal hubungan dengan Umno dan Pas, tetapi tindakan PPBM menyerang parti itu dianggap sebagai cubaan membawa Pas ke dalam Pakatan Harapan.

Beliau turut menambah bahawa sebagai blok ketiga, Pas kini sedang mempersiapkan diri menghadapi pilihan raya umum akan datang tanpa perlu mempedulikan tanggapan parti lain terhadapnya.

“Kita sudah nyatakan tak akan bersama Pakatan Harapan kerana prinsip yang kita bawa sering ditentang oleh beberapa kumpulan dalam pakatan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menunjukkan Pas mahupun Umno tidak akan meletakkan calon jika salah satu daripada parti itu bertanding di mana-mana kerusi pada PRU14 nanti.

Tuan Ibrahim juga menganggap sekiranya parti itu datang ke Kelantan dengan menganjurkan pelbagai program ia bukannya dilihat sebagai jalan untuk membantu Pas sebaliknya memberi tongkat kepada Umno.