Wakil AMK Melaka Desak Nik Nazmi Letak Jawatan

Wakil Angkatan Muda Keadilan (AMK) Melaka mendesak ketua sayap itu, Nik Nazmi Nik Ahmad melepaskan jawatan atas alasan gagal memastikan kepimpinan AMK bergerak efektif dan efisien.

Wakil tersebut, Naqqiuddin Nazrin berkata, desakan itu dibuat susulan kegagalan Nik Nazmi menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua apabila tidak pernah mendekati golongan tersebut di peringkat akar umbi, selain gagal menjelaskan isu-isu berbangkit kepada anak muda.

Kata Naqqiuddin lagi, Nik Nazmi sendiri dilihat lesu untuk menggerakkan AMK sehingga sayap parti itu bergerak terlalu perlahan dan tidak seefektif sayap Pemuda dalam parti komponen Pakatan Harapan yang lain.

“Bila kali terakhir YB (Nik Nazmi) turun ke Melaka, tak pernah. Kita senyap lesu diserang, isu anak muda kita lambat jawab. Setakat ini saya boleh kata kosong. YB, saya minta maaf terpaksa cakap akibat YB tidak atur program anak muda akhirnya AMK dipandang lembik.

“AMK sekarang mengalami masalah kelemahan dari segi pemimpin. Contoh terbaik banyak keputusan penting tidak dapat dibuat disebabkan pergaduhan yang tidak ada kesudahan, ini amat memalukan.

“Pesan saya kepada pemimpin teratas AMK, kalau tidak mampu galas tanggungjawab tunggu apa lagi, letak jawatan, beri orang lain,” kata beliau semasa membahaskan ucapan dasar Ketua AMK di Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan ke-12 di Shah Alam, hari ini.

Tambah Naqqiuddin, dia turut merasa kecewa apabila pucuk pimpinan AMK tidak mampu tampil membuat penjelasan berhubung dakwaan terlibat dengan rasuah menyebabkan ramai anak muda tidak mahu menyertai sayap itu.

“Saya jumpa anak muda ajak masuk AMK, mereka kata tidak mahu masuk sebab AMK, angkatan muda korup. Rosak sebab rasuah, rosak AMK keseluruhan,” katanya sambil mengingatkan sayap parti PKR itu akan rebah akibat rasuah.

“Saya tegur pemimpin di atas bukan sebab saya benci. Saya sayang mereka dan AMK, sebab saya sayang, saya tegur dan beri nasihat, mahu lihat masa depan AMK lebih gah dan gemilang,” katanya sambil mengingatkan pemimpin AMK supaya turun padang bertemu anak muda.