Menarik
Tarikh Hari Ini
17 August 2017

PKR Belum Lupa Perbuatan Dr Mahathir, Kata Annuar Musa

Persetujuan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk menubuhkan satu suruhanjaya siasatan bebas bagi menyiasat pelbagai tuduhan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad membuktikan parti itu belum bersedia melupakan perbuatan bekas Perdana Menteri itu terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata kenyataan itu menunjukkan PKR bersikap berwaspada terhadap tindak tanduk Dr Mahathir walaupun secara zahirnya beliau diterima menyertai pakatan pembangkang dan dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan.

“Ada perumpaan Melayu mengatakan pelanduk mungkin lupa jerat tapi jerat tidak pernah lupa pada pelanduk. Di sini jerat itu PKR dan pelanduk itu Dr Mahathir,”katanya kepada pemberita di Program Himpunan Usahawan Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Parlimen Ketereh di Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas Datuk Mohd Alwi Che Ahmad dan Pengerusi Kelab Usahawan Amanah Terbilang (KUAT) Narma Che Man.

Semalam, Wan Azizah dilaporkan bersetuju dengan tuntutan aktivis reformasi yang mahu pembangkang menubuhkan sebuah suruhanjaya bagi menyiasat pelbagai tuduhan terhadap Dr Mahathir sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan menang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Wan Azizah berkata, sehingga keputusan PRU diketahui, pakatan pembangkang bersetuju untuk mengekalkan Dr Mahathir sebagai pengerusi bagi gabungan berkenaan.

Mengulas lanjut Annuar berkata Wan Azizah sebenarnya secara simbolik memberi peringatan kepada Dr Mahathir agar tidak mengambil mudah terhadap PKR dan pastinya amaran itu datang daripada Anwar.

“Gabungan yang mempunyai agenda sendiri ini amat bahaya jika diberi mandat kerana meletakkan agenda lain lebih besar daripada agenda nasional berbeza dengan Umno (dan Barisan Nasional) yang kekal dengan perjuangan pro-rakyat dan sentiasa cuba menangani permasalahan rakyat dalam pelbagai bentuk bantuan,”katanya.

Beliau turut mendakwa penyertaan Dr Mahathir ke dalam pakatan pembangkang hanyalah untuk kepentingan peribadi dalam usaha menguasai politik negara. – BERNAMA