Najib Tidak Tentu Hala Dengan Dr Mahathir Hingga Tubuh RCI Memali

Peguam kepada bekas Perdana Menteri, Mohd Haniff Khatri Abdullah berpandangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kedua untuk menyiasat lagi satu lagi peristiwa semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamed membuktikan kerajaan dipimpin Datuk Seri Najib Tun Abd Razak dalam situasi ‘tidak tentu arah’.

Mohd Haniff berkata, tindakan untuk menubuhkan RCI terhadap Dr Mahathir dibuat untuk menjatuhkan imej bekas Perdana Menteri itu terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

Kenyataan itu dibuat susulan ucapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini bahawa kerajaan bersedia untuk mempertimbangkan penubuhan RCI bagi menyiasat tragedi Memali jika wujud permintaan daripada orang perseorangan, organisasi mahupun parti politik.

“Walau beribu RCI ditubuhkan tentang apa isu sekalipun terhadap Dr Mahathir, pada hakikatnya, rakyat yang prihatin sedar dan tahu ia sebenarnya menzahirkan ‘gabra’ kerajaan Najib Razak dengan faktor Dr Mahathir dan Pakatan Harapan (PH) menjelang PRU14.

“Bukankah rentetan peristiwa itu menzahirkan bagaimana Kerajaan Najib mencetuskan dengan curang isu Memali yang telah berlalu 32 tahun yang lalu, semata-mata kerana ‘gabra’ dengan faktor Dr Mahathir dan PH,” kata Mohd Haniff dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, keputusan kerajaan untuk menubuhkan satu lagi RCI selepas menubuhkannya untuk menyiasat kerugian urus niaga dagangan wang asing (Forex) semasa era pentadbiran Dr Mahathir menimbulkan persoalan.

“Cuba mencari ‘semut hitam dalam kegelapan malam’ berkaitan isu Memali pula.”

Tragedi Memali kembali hangat diperkatakan selepas kekecohan yang timbul semasa forum “Nothing to Hide 2.0”, Ahad lepas, sehingga beberapa pemimpin politik terutama daripada Pas mendesak kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat kejadian terbabit.