Pas Alu RCI Memali, Tuntut Kerajaan Tubuhkan Untuk 1MDB

Kepimpinan Pas mengalu-alukan kesediaan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat tragedi Memali yang berlaku pada November 1985, namun parti itu turut menuntut agar kerajaan turut menubuhkan RCI bagi menyiasat skandal 1MDB.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata desakan tersebut bagi membuktikan kerajaan benar-benar adil, selain memberi keadilan kepada semua pihak terutama rakyat Malaysia.

“Desakan menubuhkan kedua-dua RCI ini bagi melakukan siasatan rapi dan memberikan keadilan kepada semua pihak,” ujarnya dalam satu kenyataan ringkas kepada portal berita parti itu, Harakahdaily, pagi ini.

Kenyataan Tuan Ibrahim itu dibuat susulan ucapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam, yang menyatakan kesediaan kerajaan untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat tragedi Memali.

Kata Ahmad Zahid, penubuhan RCI itu akan dibuat jika wujud sebarang permintaan daripada orang perseorangan, organisasi ataupun parti politik bagi mencari keadilan untuk mangsa dan keluarga mereka.