Saya Tidak Terlibat Dalam Provokasi ‘Nothing to Hide’, Tegas Armand Azha

Salah seorang Exco Pemuda Umno Malaysia menafikan penglibatannya dalam provokasi yang berlaku pada forum ‘Nothing to Hide 2.0’ yang berlangsung di Shah Alam petang tadi.

Exco tersebut, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata beliau sendiri telah dihubungi seorang Ketua Penaja Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang menuduhnya merancang sabotaj terhadap forum berkenaan.

Kata beliau, kekecohan yang berlaku mungkin sengaja ditimbulkan bagi menutupi kelemahan penganjuran forum berkenaan, selain bertujuan memberi imej buruk kepada dirinya dan Umno.

“Saya nyatakan saya sibuk sejak pagi di Mesyuarat Perwakilan UMmno Petaling Jaya Utara iaitu bahagian saya sendiri. Beliau (ketua penaja bahagian PPBM) bertegas kata yang buat kecoh itu budak-budak saya, sedangkan saya tiada keluar apa-apa arahan mahupun terlibat dalam kekecohan di program “Nothing to Hide”.

“Bagi saya ini salah satu cara untuk menutup kelemahan dari segi penganjuran,” katanya melalui kenyataan yang disebarkan menggunakan aplikasi Whatsapp.

Tambah beliau lagi, insiden berkenaan akan digunakan pihak pembangkang untuk meraih simpati menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

“Bagi saya ini sebahagian daripada taktik lapuk untuk meraih simpati rakyat. Saya yakin pihak Pakatan akan menjaja isu ini sebagai sebahagian kempen raih simpati rakyat sebelum menghadapi PRU 14.”

Armand Azha juga berpandangan bahawa provokasi itu digerakkan oleh kelompok yang tidak berpuas hati dengan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamed.

“Saya dimaklumkan yang bertanya soalan panas itu adalah salah seorang Exco Armada Pusat pada Tun M, kekecohan berlaku waktu tersebut.

“Yang buat kecoh adalah geng-gend reformis dan Exco Armada PPBM, bukannya Armand, Exco Pemuda UMNO Malaysia,” tambahnya lagi.

Menurut beliau lagi, taktik provokasi itu merupakan cara lapuk untuk meraih simpati rakyat kerana kegagalan forum itu mendapat sambutan orang ramai.

Kekecohan timbul semasa forum berkenaan berlangsung apabila beberapa peserta mula membaling kerusi, botol air dan kasut ke arah pentas semasa Dr Mahathir sedang diajukan soalan berkaitan insiden Memali.