Jusuf Kalla Tersinggung Dengan Kenyataan Bugis Sebagai Lanun, Kata Ahmad Zahid

Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla mengakui tersinggung dan berasa terhina dengan kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan Bugis sebagai lanun, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri berkata perasaan kecewa itu diluahkan secara peribadi oleh pemimpin Indonesia itu kepada beliau ketika mereka bertemu dalam perbincangan tidak rasmi pada Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) yang berakhir di Istanbul, Turki semalam.

“Sebagai naib presiden Indonesia yang berketurunan Bugis beliau sangat-sangat tersinggung dengan ungkapan yang seolah-olah telah menghina keturunan Bugis walau di mana mereka berada sama ada di Malaysia atau di Sulawesi (Indonesia),” katanya kepada media Malaysia hari ini.

Ahmad Zahid yang kini berada di Turki bagi mengetuai delegasi Malaysia pada Sidang Kemuncak itu berkata istilah lanun itu amat tidak wajar kerana sejarah membuktikan keturunan Bugis adalah sebahagian daripada pahlawan Melayu yang memelihara keamanan di Nusantara suatu ketika dahulu.

Beliau berkata malahan istilah lanun itu sengaja diwujudkan oleh para penjajah bagi merendah-rendahkan sumbangan dan peranan pahlawan Melayu ketika itu kerana bertindak memerangi kehadiran penjajah.

“Jadi jika ada sesiapa yang mengatakan Bugis itu lanun, ia adalah sama dengan apa yang telah dilontarkan oleh penjajah serta tidak banyak berbeza dengan pandangan salah dahulu,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata sehingga ini pihak berkuasa telah menerima banyak laporan polis daripada individu dan persatuan yang mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan berkaitan isu itu.

“Polis akan meneliti semua laporan polis yang dibuat oleh mereka,” katanya.

Beberapa pihak yang mewakili masyarakat Bugis di Malaysia sebelum ini menuntut Dr Mahathir untuk membuat permohonan maaf secara terbuka apabila mengaitkan Bugis sebagai lanun.

Dr Mahathir pada perhimpunan yang dihadiri pemimpin pembangkang di Petaling Jaya minggu lepas cuba mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai mungkin berasal daripada lanun Bugis. – BERNAMA