Mat Sabu Bebas Tuduhan Fitnah Insiden Bukit Kepong

Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini membebaskan Presiden Amanah Mohamad Sabu daripada dua pertuduhan memfitnah berhubung kenyataannya mengenai insiden Bukit Kepong pada 1950.

Tiga panel hakim dianggotai Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Datuk Ahmadi Asnawi dan Datuk Rhodzariah Bujang menolak rayuan pihak pendakwaan dan mengekalkan pembebasannya daripada pertuduhan itu.

Pihak pendakwaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu, di akhir kes pendakwaan tanpa dipanggil membela diri.

Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Tengku Maimun yang mengetuai panel itu berkata mahkamah mendapati tiada sebab untuk menyimpang daripada alasan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi bahawa pertuduhan yang dikenakan terhadap Mohamad adalah cacat.

“Mahkamah Tinggi dan hakim perbicaraan tidak tersalah arah untuk menyimpulkan bahawa pihak pendakwaan tidak cukup membuktikan kes prima facie,” katanya.

Mat Sabu didakwa memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Muar pada 23 Februari 1950.

Tertuduh juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu memfitnah tiga anggota polis iaitu Konstabel Marin Abu Bakar Daud, Konstabel Jaafar Hassan dan Yusoff Rono serta anggota keluarga mereka pada masa, tarikh dan tempat sama.

Mat Sabu, 61, didakwa melakukan perbuatan itu dalam ceramahnya di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Al Fahmi, Markas Tarbiyah PAS Padang Menora, Tasek Gelugor pada 21 Ogos 2011.

Timbalan Pendakwa Raya Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor berhujah pertuduhan itu tidak cacat kerana kesalahan dinyatakan dalam pertuduhan.

Sebaliknya peguam mewakili Mat Sabu, Mohamed Hanipa Maidin berhujah, dengan menyatakan inti pati kesalahan anak guamnya, tidak dinyatakan dalam pertuduhan.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Mat Sabu berkata beliau amat lega dengan keputusan itu selepas mahkamah menolak rayuan pihak pendakwaan. – BERNAMA