DAP Berjaya Serah Laporan Lengkap Penyata Tahunan Kepada JPPM

DAP hari ini menyerahkan laporan lengkap penyata tahunan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) selepas mengadakan pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) menerusi kongres khas 12 November lalu.

Selain itu, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke turut menyerahkan dua Penyata Kira-kira bagi tahun tutup 31 Disember 2015, dua salinan minit Mesyuarat Agung Tahunan 2017 dan tiga salinan senarai nama ahli CEC bagi tahun 2017 kepada wakil JPPM, selain laporan juruaudit diserahkan pada 27 November lalu.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Loke berkata penyerahan dokumen ini merupakan proses lengkap selepas pemilihan diadakan seperti yang diarahkan JPPM, dan berharap jabatan itu akan berpuas hati serta mengembalikan status DAP secara biasa secepat mungkin.

“Beberapa aduan dikemukakan oleh ahli DAP yang menggesa JPPM menyiasat pemilihan semula CEC adalah tidak berasas kerana pemilihan itu mengikut undang-undang dan syor dikemukakan RoS,” katanya.

Antara aduan JPPM adalah kertas undi tidak mempunyai nombor siri dan senarai perwakilan tidak dikemas kini.

Mengenai cadangan Pakatan Harapan yang sepakat melantik bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri interim, Loke berkata DAP masih memilih bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri interim sekiranya pembangkang menang pilihan raya umum ke-14. – BERNAMA