Umat Islam Diseru Tidak Terperangkap Dengan Taktik Musuh

Umat Islam di negara ini diseru tidak terperangkap dengan taktik musuh yang bersatu dari segenap blok untuk memecahbelahkan kesatuan umat Islam.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata musuh Islam berkenaan amat mengharapkan agar umat Islam sentiasa berpecah belah kerana perkara tersebut akan memberi kekuatan kepada mereka.

Kata beliau, atas perpecahan umat Islam Malaysia, mereka mampu untuk membina kekuatan, menang dan seterusnya menguasai negara ini dan umat Islam.

“Sebagaimana musuh boleh bersatu meskipun mereka berbeza parti politik dan aliran pemikiran demi “menyerang” Islam dan umatnya. Maka umat Islam mesti bertolak ansur dan korbankan kepentingan diri serta puak dengan kembali kepada paksi Islam yang benar.

“Mereka pastinya cuak lihat umat Islam bersatu. Mereka gelisah lihat umat Islam kembali berpaut erat pada Tali Allah. Mereka kepanasan lihat umat Islam mengurus perbedaan fahaman politik dan aliran pemikiran secara matang dan sejahtera,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Nasrudin mendedahkan antara taktik musuh Islam memecahbelahkan masyarakat muslim negara ini adalah dengan memastikan umat Islam saling bercakaran, bergaduh dan benci membenci antara satu sama lain.

Kata beliau, perkara yang kecil diperbesarkan dan yang mudah dipayahkan menggunakan pelbagai medium untuk menghasut termasuk media dan cybertrooper milik mereka untuk mengadu domba.

“Menggunakan strategi pecah dan perintah, musuh Islam mencetuskan pelbagai propaganda dan provokasi termasuk fitnah dan tohmahan terhadap perjuangan Islam. Kehendak mereka hanya satu iaitu umat Islam mesti berpecah dan lemah.

“Semestinya seruan penyatuan ini berpaksi kepada Islam. Justeru hanya Islam atau “Tali Allah” sahaja yang berupaya menambat dan mengikat hati-hati umat Islam supaya bersatu teguh dan utuh.

“Pas selayaknya bertindak untuk menyatukan ummat ini. Mereka tidak boleh dibiarkan berpecah atas apa alasan sekalipun termasuklah perbedaan latar fahaman politik, mazhab dan manhaj pemikiran,” katanya.