Usul Kekal Jawatan Presiden, Timbalan Presiden Umno Diluluskan Perwakilan PAU 2017

Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2017 menyaksikan usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang diluluskan selepas dibahas wakil Pergerakan Pemuda Umno pada hari kedua perhimpunan tersebut, hari ini.

Keputusan tersebut dicapai selepas undian yang dilakukan para perwakilan yang hadir dalam perhimpunan tersebut di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Ketika ini jawatan timbalan presiden dikosongkan selepas penyandangnya Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat dari Umno, manakala Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula dilantik untuk memangku tugas berkenaan.

Usul mengekalkan jawatan presiden dan timbalan presiden Umno bakal menjamin Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak terus berada pada hierarki tertinggi Umno, manakala Ahmad Zahid akan dilantik sebagai timbalan secara rasmi.

Berdasarkan sumber tidak rasmi, dimaklumkan bahawa pemilihan Umno dijangkan akan dilanjutkan sehingga tahun 2019 selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 tahun hadapn.

Menurut rekod, semenjak dilantik ke jawatan presiden pada tahun 2009 sehingga kini, Najib tidak pernah sekali pun dicabar kedudukannya.