Najib Temui Pemimpin Gerakan, Bincang Isu Berkaitan Pilihan Raya Umum 14

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin tertinggi Parti Gerakan di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur bagi membincangkan isu-isu berkaitan pilihan raya umum ke-14 (PRU 14) .

Ketibaan Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) pada kira-kira 10.30 pagi disambut Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong.

Difahamkan, dalam pertemuan tertutup kira-kira sejam itu, Mah membentangkan mengenai strategi parti dalam menghadapi PRU 14, disusuli amanat khas perdana menteri kepada kepimpinan parti.

Pada PRU 13, Gerakan bertanding di 12 kerusi Parlimen dan 33 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Awal bulan ini, Gerakan buat julung kalinya mengadakan perhimpunan bersama MCA yang dihadiri pemimpin tertinggi parti dan anggota akar umbi daripada kedua-dua parti, bertujuan menunjukkan perpaduan parti dan menjalin kerjasama bagi menghadapi PRU 14. – BERNAMA